Wartawan Ditembak Israel Hilang Mata Kiri, Satu Dunia Tunjuk Solidariti & Tuntut Keadilan

Muath Amarneh, 35, iaitu seorang wartawan jurugambar bebas Palestin telah kehilangan mata kiri sepenuhnya selepas ditembak oleh tentera Israel

Click to Reveal

Muath Amarneh.

Muath Amarneh.

Image via Astro Awani / Twitter @PJreish

Kejadian dipercayai berlaku ketika tentera Israel cuba untuk meleraikan penunjuk perasaan Palestin di Kampung Surif di Wilayah Selatan Tebing Barat. Pada ketika itu, wartawan jurugambar bebas, Amarneh dipercayai sedang menjalani tugas untuk membuat liputan demonstrasi di lokasi berkenaan.

Dia yang pada ketika itu turut memakai baju yang menunjukkan dirinya sebagai seorang wartawan yang hanya berada di situ untuk membuat liputan dengan memakai baju yang tertera perkataan ‘Press‘ berserta helmet.

Rakan sekerja Amarneh mengesahkan bahawa dia disasarkan oleh tentera Israel. Namun perkara itu telah dinafikan oleh pihak rejim.

Menurut doktor yang bertugas untuk merawat Amarneh, mata kiri Amarneh yang ditembak itu tidak boleh diselamatkan dan perlu dibedah keluar

Menurut laporan Astro Awani, ketika ditemubual oleh AFP, Amarneh menjelaskan bahawa, “Tiba-tiba saya rasa sesuatu mengenai mata saya, Saya ingat peluru getah atau batu. Saya memegang mata saya dan tidak merasa apa-apa, Saya tidak dapat melihat kerana mata saya hilang sepenuhnya.”

Kejadian ini menarik perhatian media antarabangsa apabila wartawan dari seluruh dunia menyatakan solidariti dengan memakai penutup mata atau menutup sebelah mata mereka

Mereka turut memuat naik gambar mereka menutup sebelah mata bertujuan untuk menyokong Amarneh dan menggalakkan orang ramai melakukan perkara yang sama. Perkara ini dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelanggaran Israel terhadap kebebasan akhbar. Terutamanya ketika mereka sedang menjalankan tugas membuat liputan protes.

Kempen ini menggunakan hashtag #MuathEye, #EyeofTruth dan #MuathAmarneh dilancarkan secara luas di media sosial disusuli video serta gambar Amarneh ketika dibawa selepas ditembak

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut mengutuk serangan itu dan berjanji untuk memastikan Amarneh mendapat penjagaan perubatan yang terbaik untuk memulihkannya

Bukan setakat itu sahaja, Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) yang merupakan kumpulan advokasi global bertujuan untuk menjaga kebebasan media turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengadaptasi konvensyen yang memastikan perlindungan kepada semua wartawan.

Ini kerana, pada tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 60 wartawan telah menjadi sasaran tembakan oleh tentera Zionis. 43 daripada mereka telah mengalami kecederaan akibat bom bunyi, manakala 170 lagi dipukul serta dihalau untuk membuat liputan.

Paling teruk, setakat ini seramai 18 orang wartawan turut ditahan di penjara Israel.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

[ajax_load_more]